Depository of News

Fiza Frizzy tanggung derita akibat abai pantang

hmetro.com.my · tech

syafil.syazwan@hmetro.com.my Kuala Lumpur : Pengacara, Fiza Frizzy memberi peringatan keras kepada golongan wanita agar tidak memandang remeh amalan berpantang dan menganggapnya sebagai tradisi kuno dalam era serba moden masa kini. Fiza, 38, atau nama sebenarnya Nur Hafizah Md Saad berkata, kesilapan tidak berpantang secara teratur akibat terlalu mengejar kerjaya memakan diri apabila dia terpaksa menjalani pembedahan laparoskopi (tebuk) baru-baru ini bagi merawat diastasis recti (masalah pemisahan otot perut) dan umbilical hernia (angin pasang di pusat). "Walaupun kita sudah menuju ke zaman kecerdasan buatan (AI) dan zaman moden, berpantang itu adalah satu kemestian. Penjaga ibu berpantang (confinement lady) memang kita upah, tetapi ikutlah amalan seperti bertungku dan sebagainya. "Bersalin adalah antara proses yang paling kritikal dan membabitkan perubahan badan yang cukup rumit, lebih-lebih lagi untuk kaum wanita. Jadi, tolonglah jaga diri. "Kalau kita sendiri tidak menjaga diri kita, siapa yang nak menjaga diri kita? Bukan jiran sebelah, malah ibu kita sendiri pun tidak akan selamanya menjaga kita. Jadi berpantanglah, tolonglah," katanya kepada Harian Metro. Mengulas lanjut punca masalah kesihatan yang dihidapinya sejak 2024 itu, Fiza mengakui sikap degilnya yang sudah mula keluar bekerja seawal hari keempat selepas melahirkan anak menjadi penyebab utama. Jelas ibu kepada tiga cahaya mata serta pernah mengalami tiga kali keguguran itu, otot perutnya yang sepatutnya bercantum semula selepas bersalin gagal pulih sehingga membentuk ruang kosong di bahagian tengah perut. "Disebabkan tidak berpantang secara teratur, bahagian tengah perut saya jadi berlopong seolah-olah sedang hamil empat atau lima bulan sehingga usus boleh menembus ke bahagian hadapan kulit. "Pernah ketika sedang mengacara majlis, tiba-tiba saya berasa sakit seperti ditumbuk di bahagian bawah dada. Selepas menjalani imbasan MRI, doktor mengesahkan saya mengalami dua masalah itu sekali gus," katanya. Tambah Fiza, dia terpaksa menangguhkan pembedahan itu selama setahun setengah kerana terikat dengan komitmen kerja sebelum mengambil keputusan menjalani prosedur berkenaan apabila mempunyai kelapangan cuti selama lima hari. Dalam pembedahan yang dilakukan pada minggu lalu, doktor meletakkan jaringan khas (mesh) menerusi tiga tebukan kecil di perutnya bagi menghalang usus daripada menembus ke bahagian abdomen. "Alhamdulillah, tahap kesihatan dan penghadaman saya kini semakin lancar dan rasa sakit seperti ditumbuk itu sudah tiada. Cuma buat masa ini saya perlu memakai bengkung selama tiga bulan sebagai langkah pemulihan. "Walaupun zaman sudah berubah dengan pelbagai perubatan moden, petua dan herba tradisional orang dulu-dulu tetap antara yang terbaik untuk memastikan wanita kekal sihat dan panjang umur," katanya. © New Straits Times Press (M) Bhd

Read full article →