Depository of News

Eleena Harris beralih angin, mahu tonjol kekuatan vokal

hmetro.com.my · world

puterialia@hmetro.com.my Kuala Lumpur : Sering menghasilkan lagu bergenre pop, penyanyi, Eleena Harris bakal memberi fokus kepada genre balada untuk karya yang dihasilkan pada masa akan datang. Eleena, 30 berkata, dia kini berhasrat untuk mempersembahkan karya yang lebih tenang serta memberi ruang untuk memperlihatkan potensi sebenar vokalnya. "Saya sebenarnya selepas ini mahu teroka genre muzik balada. Macam dulu saya banyak hasilkan lagu bergenre pop. "Jadi sekarang saya nak hasilkan sesuatu yang tenang sikit mahu dengar. Itu fokus saya selepas ini," katanya kepada Harian Metro. Bagaimanapun, Eleena turut menyifatkan lagu-lagu terdahulunya seperti Terlalu Rindu dan karya pop lain banyak membawa impak positif kepada pendengar dengan menaikkan semangat serta menceriakan hari mereka. "Macam sebelum ini, untuk lagu bergenre pop itu ia lebih kepada untuk buat orang gembira. "Itu yang saya dapat, yang orang banyak cakap kepada saya bila mereka dengar lagu saya, mereka rasa gembira," katanya lagi. "Ada yang pernah cerita kepada saya, mereka pernah berada di detik yang paling rendah dalam hidup mereka, tetapi bila dengar lagu saya, mereka rasa yang dalam hidup ini tidak perlu sedih pun," kongsinya. Berkongsi mengenai peralihan genre itu, Eleena berharap agar ia dapat memberikan kepuasan berbeza kepada peminat setianya. Dalam perkembangan lain, Eleena turut mempunyai perancangan untuk menganjurkan sebuah konsert mini. "Mungkin bukan saya seorang sahaja yang membuat persembahan, sebaliknya saya berhasrat mengajak rakan-rakan penyanyi lain yang pernah membuat persembahan bersama saya dahulu untuk menjayakan konsert itu nanti. "Kita buat persembahan secara kecil-kecilan dahulu sebagai kemunculan semula untuk mengumpul dan memanggil balik peminat yang sekian lama tertunggu-tunggu mahu mendengar nyanyian saya," ujarnya. © New Straits Times Press (M) Bhd

Read full article →