Depository of News

Jaclyn harap Aina Abdul harumkan nama Malaysia di Eurovision

hmetro.com.my · tech

norhayati_nordin@hmetro.com.my Kuala Lumpur: Penyanyi, Jaclyn Victor, 47, mengakui berasa bangga dengan kejayaan diraih penyanyi kelahiran Malaysia di luar negara termasuk penyertaan Aina Abdul dalam pertandingan Eurovision Song Contest Asia 2026. Jaclyn berkata, dia seronok melihat kejayaan diraih rakan penyanyi apabila menempa nama di luar negara seperti Shila Amzah yang menjadi pemangkin semangat untuk dirinya mencuba. "Saya sangat gembira melihat kejayaan penyanyi-penyanyi kita yang sudah memahat nama di luar negara. Begitu juga, Aina yang membawa nama negara untuk bersaing di pentas Eurovision Asia 2026 di Bangkok, Thailand. "Saya tahu Eurovision Song Contest ini berlangsung di Eropah. Jadi, ia adalah satu platform pertandingan yang sangat besar dan bila sekarang dibawa ke Asia, saya sangat teruja apatah lagi Aina mewakili negara. "Harapan saya sebagaimana rakyat Malaysia mahu Aina menang, dan mengharumkan nama negara. Aina, kamu pasti boleh lakukannya kerana saya rasa belum pernah lagi melihatnya berasa gementar," katanya. Jaclyn berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Konsert Sooka dan Konsert Vaganza Astro, di sini, bersama barisan penyanyi lain seperti Datuk Ziana Zain, Bunkface, Kugiran Masdo, Insomniacks, Oddah dan Ratu Haidar. Katanya, dia menyukai Aina kerana kemampuan penyanyi itu menghasilkan muzik sendiri untuk menulis lirik dan mencipta lagu. "Bagi saya, itu menjadikan dia seorang artis yang lengkap, dan lagu Bluest Sky pun sedap didengar," katanya, Pada perkembangan lain, Jaclyn yang kini belajar bahasa Mandarin berkata, dia juga menyimpan impian berjaya dalam pertandingan nyanyian Singer 2027 di China kelak selepas menjuarai Singer 2026 Malaysia pada Julai lalu. "Saya ingin mencapai impian mengembangkan karier nyanyian di luar negara seperti Shila. Saya tumpang seronok melihat kejayaannya yang sekarang rancak merancang siri jelajah konsert solo di China. Bangga sangat dengan Shila. "Bagi saya, dia (Shila) sangat 'power' dan itu hasil usahanya yang sudah dibuat sejak lama. Shila memang memberi inspirasi kepada saya, dan dia juga tidak lokek ilmu serta selalu membantu saya. Memang dia sangat baik. "Setiap kali saya bertanya apa-apa kepadanya dan kami berbincang, Shila sentiasa okey serta sudi mengajak saya melakukannya bersama-sama. Saya sangat terinspirasi dan semoga berjaya dalam karier nyanyian ini," katanya. Jaclyn yang pernah merangkul juara Malaysian Idol musim pertama pada 2004 berkata, sepanjang 22 tahun dalam industri memang perjalanan yang tidak mudah, namun dia suka menimba ilmu kerana muzik bersifat 'universal'. Menurutnya, dia mahu memastikan penyertaan dalam pertandingan Singer 2027 di China itu menjadi sangat bermakna dengan kebolehan menyanyikan lagu Mandarin dengan baik mengikut sebutan perkataan tepat dan betul. "Sebagai individu berusia semestinya bukan mudah dia belajar bahasa Mandarin terutama memastikan sebutan yang betul, namun itu bukan halangan kerana gemar dengan cabaran," katanya. © New Straits Times Press (M) Bhd

Read full article →