Depository of News

Amylea Azizan sedia bukti kemampuan di pentas pertandingan

hmetro.com.my · world

mohamadridzuan@hmetro.com.my Kuala Lumpur : Penyanyi Amylea Azizan, 39, berharap peminat memberikan peluang untuknya meneruskan bakat dalam satu pertandingan nyanyian. Amylea yang sudah 20 tahun terbabit dalam industri hiburan berkata, dia berserah kepada peminat untuk mengundinya masuk dalam program terbabit. "Tak dinafikan saya tiada 'fan base' yang kuat seperti penyanyi lain yang ada dalam industri kita. Tapi saya nak tegaskan bahawa perjalanan seni saya tak pernah berakhir. "Selagi Tuhan izinkan, saya akan terus aktif keluarkan idea melalui karya-karya yang saya dapat tulis, dari pengarahan iklan yang saya buat, dari penerbitan, lakonan dan nyanyian yang tak pernah henti. "Saya pun kurang faham bila ada kata-kata nakal mengatakan saya hilang atau tak aktif sekali gus perjalanan seni dah berakhir. Mana mungkin sebab single baru tetap keluar setiap tahun," katanya kepada Harian Metro. Penyanyi lagu Ku Berserah melihat ini mungkin peluang untuknya membuktikan pada mereka yang terlupa kewujudannya dalam industri muzik kerana bakat nyanyian dan persembahan. "Mungkin ini peluang untuk saya persembahkan melalui pengalaman apa yang sudah saya timba sepanjang dalam industri, kerana ada yang mengatakan saya tak lagi relevan untuk berada di TV. "Inilah masanya untuk ubah persepsi orang terhadap saya. Saya percaya setiap bakat kurniaan Tuhan itu adalah luar biasa. Saya dengan jalan saya. "Cuma saya pasti tentu ramai di luar sana jarang dapat melihat kemampuan saya secara 'live'. Saya banyak menyanyi di acara-acara tertutup dan lagu-lagu saya banyak terdapat dalam pelbagai platform," katanya. © New Straits Times Press (M) Bhd

Read full article →