Depository of News

Que Haidar terkejut bersaing dengan pelakon baharu

hmetro.com.my · world

syafil.syazwan@hmetro.com.my Setia Alam : Pelakon, Que Haidar mengakui terkejut apabila namanya kembali menembusi senarai pencalonan Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-38 menerusi kategori Aktor TV Popular, selepas kali terakhir dicalonkan pada 2009. Que, 47, atau nama sebenarnya Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar berkata, dia menganggap pencalonan itu sebagai rezeki, namun tidak meletakkan harapan tinggi memandangkan perlu bersaing dengan barisan pelakon baharu yang memiliki kelompok penyokong tegar. "Perkara itu memang langsung tak terlintas di fikiran saya. Saya hanya tahu nama tercalon selepas pengumuman dibuat. Alhamdulillah, itu sahaja yang boleh saya katakan. "Saya kena bersaing dengan pendatang baharu yang mempunyai kelompok peminat kuat dan sokongan tersendiri. Jadi, dapat berada dalam Top 10 pun sudah cukup disyukuri," katanya. Que ketika ditemui pada sesi ramah mesra bersama barisan pelakon drama bersiri terbitan Unifi TV Original, Nak Dengar Cerita Hantu 2 berpandangan, faktor usia bukanlah penghalang untuk seseorang terus mencuba atau mengejar impian. "Sebenarnya, soal usia bukan penghalang untuk kita melakukan apa sahaja. Selagi kita masih mahu mencuba, kita teruskan. "Dalam apa bidang, sama ada bekerja, belajar atau menyambung pengajian, usia bukan sesuatu yang sepatutnya menghalang kita. "Cuma, saya memang terkejut apabila tercalon. Mungkin rezeki saya selepas membintangi drama Pak Su Ammara," katanya. Pada masa sama, pelakon itu menyifatkan pencalonan berkenaan sebagai bukti industri seni masih memberi ruang serta kepercayaan terhadap bakatnya untuk terus berkarya. "Pertama sekali, industri dan orang-orang di dalamnya masih memberikan ruang serta kepercayaan terhadap bakat saya. Itu satu perkara yang sangat besar. "Semuanya berlaku dengan izin Allah kerana rezeki sudah disusun dan diatur oleh-Nya. Kita berdoa, meminta dan berusaha," katanya. Untuk rekod, Que pernah mencipta kejayaan di ABPBH apabila merangkul trofi Pelakon Filem Lelaki Popular bagi edisi ke-22 pada 2008 sebelum berjaya mempertahankan gelaran berkenaan pada edisi ke-23. © New Straits Times Press (M) Bhd

Read full article →