Depository of News

Ogy terharu Wajah Rahsia Hati diminati di Rusia

newsdepo.com · world

mohamadridzuan@hmetro.com.my Kuala Lumpur: "Pertamanya saya memang rasa sangat gembira dan sebak kerana ada bangsa lain, bangsa asing yang berasal dari Rusia, meminati lagu ini dan sanggup mempelajarinya untuk membuat persembahan. "Jadi, sudah tentunya saya gembira apabila orang luar meminati lagu Melayu kita," kata Fauziah Ahmad Daud. Pelakon yang juga penyanyi legenda ini, mengulas berkenaan lagu nyanyiannya berjudul Wajah Rahsia Hati kini menjadi tular di media sosial. Ia berikutan pemain biola dari Rusia, Katrin Lilo memainkan lagu terbabit dalam persembahannya. Fauziah atau mesra disapa Ogy, 64, turut berkata, apa yang berlaku adalah suatu penghargaan juga kepada penciptanya Allahyarham Bob Khalil dan juga pengubah lagu ini Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan serta penulis lirik lagu ini iaitu Datuk Habsah Hassan. Dia turut menjelaskan situasi sebenar disebalik kekeliruan peminat yang mendakwa ini adalah lagu nyanyian Datuk Seri Sheila Majid. "Ramai yang mungkin tidak memahami kenapa ada dua penyanyi yang mendendangkan lagu ini. "Sememangnya Datuk Seri Sheila Majid mendendangkan lagu ini untuk filem, runut bunyi filem, sementara saya pula menyanyikan lagu ini untuk album, iaitu album lagu-lagu filem. "Jadi itulah kejadiannya kenapa ada dua penyanyi untuk lagu ini. Dan dah tentunya kita memang tidak menjangkakan lagu ini akan bertahan berdekad," katanya kepada Harian Metro. Fauziah berkata, dia teruja apabila melihat lagu ini mampu bertahan dari tahun 1984 sehingga kini. "Bagi saya, sebagai orang yang menyanyikan lagu Wajah Rahsia Hati, melodinya sememangnya memberi good vibes, liriknya yang mudah untuk mencerminkan para remaja, setiap para remaja ketika kita muda. "Dan sekarang ini bila kita sudah berusia, bila kita mendengar balik lagu itu, 'in a way' dia mengimbas kembali kehidupan kita pada zaman remaja. "Bijaksana sungguh Datuk Habsah Hassan menulis lirik. Dan saya merasakan jikalau Allahyarham Abang Bob Khalil dan Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan masih ada, mereka juga akan merasa bangga, rasa sebak dan rasa terharu seperti saya. "Terima kasih Katrin Lilo, pemain biola dari Rusia yang sudi mempelajari lagu ini dan membuat persembahan lagu ini melalui biola beliau," katanya. © New Straits Times Press (M) Bhd

Read full article →