Belanjawan 2027: 250,000 rakyat keluar belenggu kebankrapan
essabuyamin@bh.com.my Kuala Lumpur: Keputusan kerajaan menaikkan ambang kebankrapan daripada RM100,000 kepada RM150,000 dilihat mampu memberikan peluang kedua kepada individu yang menghadapi masalah kewangan. Bagaimanapun peluang kedua berkenaan mesti disertai dengan mekanisme pemulihan kewangan yang berkesan supaya matlamat membebaskan rakyat daripada belenggu hutang dapat dicapai sepenuhnya. Ketua Pegawai Eksekutif Persekutuan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Dr T Saravanan berkata, pihaknya menyokong penuh langkah berkenaan kerana kebankrapan membawa kesan besar terhadap kehidupan seseorang termasuk aspek pekerjaan, perniagaan dan kesejahteraan keluarga. "Tidak semua individu yang berdepan masalah hutang sengaja mengabaikan tanggungjawab kewangan, sebaliknya ada yang terjerat akibat kehilangan pekerjaan, kegagalan perniagaan mahupun kos rawatan perubatan. "Kenaikan ambang itu memberikan ruang tambahan kepada individu terjejas untuk menyusun semula hutang, namun ia bukan bermaksud hutang sedia ada dihapuskan atau pengguna tidak lagi perlu membayar balik," katanya ketika dihubungi, hari ini. Semalam, kerajaan memutuskan untuk menaikkan ambang kebankrapan daripada RM100,000 kepada RM150,000 mulai 2027 sebagai sebahagian usaha membantu rakyat keluar daripada masalah kewangan. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata sejak 2023, Kerajaan MADANI sudah berjaya membantu lebih 250,000 rakyat keluar daripada belenggu kebankrapan. Mengulas lanjut, Saravanan berkata sekiranya seseorang hanya dilindungi daripada prosiding kebankrapan tetapi masih dibebani hutang yang semakin meningkat, masalah kewangan mereka sebenarnya belum diselesaikan. "FOMCA mencadangkan supaya langkah ini disertai program penstrukturan semula hutang, rundingan pembayaran balik dan kaunseling kewangan menerusi Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK)," katanya. Dalam pada itu, Saravanan berkata, risiko salah faham wujud jika pengguna menganggap mereka tidak boleh dikenakan tindakan selagi hutang belum mencapai RM150,000, sedangkan pemiutang masih boleh menggunakan saluran sivil lain. "Bagi memperkukuh mekanisme perlindungan, institusi kewangan digesa menjalankan penilaian kemampuan pembayaran balik yang lebih menyeluruh serta tidak menawarkan kemudahan kredit secara agresif kepada mereka yang berbeban hutang tinggi. "Pendidikan kewangan juga perlu dipertingkatkan khususnya mengenai penggunaan kad kredit, pinjaman peribadi serta kemudahan Beli Sekarang Bayar Kemudian (BNPL), terutamanya dalam kalangan pekerja gig dan golongan muda," katanya. Katanya, peluang kedua mesti disertai tanggungjawab kewangan dan amalan pemberian kredit yang bertanggungjawab supaya pengguna tidak terperangkap dalam hutang lebih besar pada masa hadapan. From: jamil © New Straits Times Press (M) Bhd
