Depository of News

Belanjawan 2027: Agihan SARA perlu ditambah nilai ikut kadar inflasi

newsdepo.com · tech

am@hmetro.com.my Johor Bahru: Peningkatan kadar Sumbangan Asas Rahmah (SARA) penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dalam Belanjawan 2027 disifatkan sebagai 'talian hayat' yang tepat pada waktunya, namun kerajaan digesa tidak berhenti di situ sebaliknya menaikkan lagi jumlah bantuan bulanan itu bagi mengimbangi tekanan kos sara hidup yang semakin mencabar. Aktivis masyarakat, Michael Tay Chee Boon berkata, walaupun inisiatif sedia ada wajar dipuji, fokus khusus terhadap pemerkasaan agihan bantuan tunai bulanan perlu diberi perhatian berterusan oleh kerajaan. "Langkah kerajaan menerusi belanjawan ini memang satu permulaan yang baik dan melegakan. Namun, untuk memastikan golongan B40 benar-benar kalis cabaran ekonomi semasa, kadar SARA wajar dinaikkan lagi mengikut kadar inflasi dan keperluan isi rumah," katanya. Menurutnya, barang keperluan asas seperti beras dan minyak masak memerlukan liputan subsidi berterusan kerana ia merupakan keperluan harian yang paling memberi kesan kepada rakyat. "Kita menyambut baik Belanjawan 2027 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen, semalam dan menghormati pengumuman berkenaan. "Bagaimanapun, dari segi pelaksanaan, kadar bantuan tunai seperti SARA atau STR, saya berpendapat ia masih boleh ditambah nilai. Golongan berpendapatan rendah memerlukan sokongan perbelanjaan bulanan yang lebih kukuh," katanya ketika dihubungi, hari ini. Michael berkata, selain bantuan bekalan makanan utama, subsidi bagi kemudahan asas seperti bil air dan elektrik juga wajar diberi perhatian supaya kos utiliti rumah setiap rakyat tidak membebankan mereka. Beliau berkata, bantuan belanjawan juga perlu dipastikan sampai secara saksama kepada golongan rentan lain yang memerlukan sokongan berterusan. "Ibu bapa warga emas, golongan orang kurang upaya (OKU) serta komuniti petani dan nelayan adalah kelompok yang sentiasa terdedah kepada turun naik ekonomi semasa. "Bantuan khusus dan bersasar kepada mereka berupaya meringankan beban kewangan harian secara nyata," katanya. Semalam, Anwar yang juga Menteri Kewangan membentangkan belanjawan yang mengangkat tema 'Mengapai Di Langit, Mengakar Di Bumi.' Belanjawan itu adalah yang kedua di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) 2026-2030 dan juga yang kelima di bawah Kerajaan MADANI. Menerusi Belanjawan 2027, peruntukan STR ditingkatkan kepada RM16 billion, berbanding RM15 bilion dan semua penerima STR akan menerima SARA sehingga RM150 sebulan atau sehingga RM1,800 setahun dengan sembilan juta penerima mendapat manfaatnya. Selain itu, 13 juta rakyat berusia 18 tahun ke atas termasuk golongan M40 menerima SARA RM100 sebelum Aidilfitri dan menjelang Hari Kebangsaan. © New Straits Times Press (M) Bhd

Read full article →