Dua penghuni melecur, rumah teres dua tingkat terbakar
bhnews@bh.com.my Kuala Lumpur: Dua penghuni melecur dalam kebakaran rumah teres dua tingkat yang turut memusnahkan sebuah kereta di Taman Muda, Ampang, di sini. Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.33 pagi tadi. Beliau berkata, lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pandan Indah bergegas ke lokasi sebelum tiba tiga minit kemudian. "Kebakaran membabitkan tingkat bawah sebuah rumah teres dua tingkat dengan anggaran kemusnahan 60 peratus. "Sebuah kereta Perodua Myvi turut terbakar 70 peratus," katanya dalam kenyataan, hari ini. Katanya, kedua-dua mangsa lelaki, masing-masing berusia lingkungan 30-an dan 60-an berjaya menyelamatkan diri sebelum ketibaan pasukan bomba. Ashrul berkata, kedua-dua mangsa yang melecur dihantar ke hospital oleh ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) dan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bomba. Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 8.45 pagi tadi. © New Straits Times Press (M) Bhd
